DIY UmrahPlus Istanbul 2027: Tambah Kurang RM1,000, Terokai Kota Dua Benua Sebelum Menunaikan Umrah!
Bahagian 1 — Kuala Lumpur, Istanbul & Perjalanan Menuju Madinah
Bagaimana jika perjalanan menunaikan ibadah Umrah turut membuka peluang untuk kita meneroka sebuah kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan tiga empayar besar dunia?
Sebuah kota yang menghubungkan Asia dan Eropah, menyimpan khazanah sejarah Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah, serta menawarkan pengalaman yang sukar ditemui di tempat lain.
Kota itu ialah Istanbul, Türkiye.

Dalam merancang perjalanan DIY Umrah, saya sering membuat perbandingan harga tiket penerbangan. Kadangkala, dengan sedikit perubahan pada laluan perjalanan, kita bukan sahaja boleh mengoptimumkan bajet, malah berpeluang mengunjungi sebuah negara tambahan.
Kali ini, saya ingin berkongsi satu simulasi perjalanan DIY UmrahPlus Istanbul pada Jun 2027.
Menariknya, dengan tambahan bajet kurang daripada RM1,000, tidak termasuk makanan dan perbelanjaan peribadi, kita berpotensi menikmati empat malam di Istanbul sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Tambahan Tambang RM52 Berbanding KUL–Madinah | Penginapan Istanbul 4 Malam 9–13 Jun 2027 | Kos Tambahan Berdua RM605 Seorang, tidak termasuk makan |
1. Mengapa Tidak Singgah di Istanbul Dahulu?
Berdasarkan semakan awal harga tiket penerbangan melalui Trip.com bagi perjalanan sehala pada 9 Jun 2027, tambang dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi adalah seperti berikut:
| Laluan | Anggaran Tambang |
|---|---|
| Kuala Lumpur – Madinah | RM1,900 |
| Kuala Lumpur – Jeddah | RM1,600 |
Harga tersebut termasuk bagasi daftar masuk 20 kg berdasarkan pilihan penerbangan yang disemak.
Namun, bagaimana jika kita menukar sedikit laluan perjalanan?
Daripada terus menuju ke Madinah atau Jeddah, kita terbang dahulu ke Istanbul, menghabiskan empat malam di sana, kemudian meneruskan penerbangan ke Madinah.
| Tarikh | Laluan | Tambang |
|---|---|---|
| 9 Jun 2027 | KUL – Istanbul (SAW), AirAsia | RM1,092 |
| 13 Jun 2027 | Istanbul – Madinah, (AJet / Pegasus) | RM860 |
| Jumlah | RM1,952 | |
Kedua-dua anggaran tambang tersebut termasuk bagasi daftar masuk.
Perbandingan Kos Penerbangan Sehala
KUL – Jeddah RM1,600
KUL – Madinah RM1,900
KUL – Istanbul – Madinah RM1,952
Tambahan berbanding Madinah RM52 | Tambahan berbanding Jeddah RM352 |
Dengan tambahan tambang penerbangan hanya RM52 berbanding laluan terus ke Madinah, kita sudah mempunyai peluang untuk meneroka Istanbul.
Sudah tentu, kita masih perlu mengambil kira kos penginapan, makanan, pengangkutan dan aktiviti sepanjang berada di Türkiye.
2. Mengapa Saya Memilih Madinah Sebagai Destinasi Pertama di Arab Saudi?
Walaupun tambang penerbangan dari Istanbul ke Jeddah dan Madinah berada dalam lingkungan harga yang hampir sama, pilihan peribadi saya adalah untuk mendarat di Madinah terlebih dahulu.
- Tidak perlu berniat ihram dalam penerbangan dari Istanbul sekiranya menuju ke Madinah dahulu.
- Tidak perlu melakukan perjalanan darat tambahan dari Jeddah ke Madinah.
- Berpeluang berehat selepas beberapa hari meneroka Istanbul.
- Dapat memulakan perjalanan ibadah dengan berziarah ke Masjid Nabawi.
- Boleh membuat persediaan ihram dengan lebih tenang sebelum bertolak ke Makkah melalui miqat yang ditetapkan.
Bagi saya, DIY Umrah bukan semata-mata tentang mencari perjalanan paling murah, tetapi juga merancang perjalanan yang lebih selesa, praktikal dan tidak terlalu memenatkan.
3. Dari Lapangan Terbang Sabiha Gökçen ke Istanbul
Istanbul mempunyai dua lapangan terbang utama, iaitu Istanbul Airport (IST) di bahagian Eropah dan Sabiha Gökçen International Airport (SAW) di bahagian Asia.
Penerbangan AirAsia yang dipilih dalam simulasi ini tiba di SAW.
Bagi pengembara bajet seperti saya, tidak semestinya kita perlu menggunakan teksi atau menempah pengangkutan persendirian untuk menuju ke hotel.
| Pengangkutan | Kelebihan |
|---|---|
| Metro M4 + Marmaray | Ekonomik dan mengelakkan kesesakan jalan raya. |
| Bas awam İETT | Pilihan bajet dengan beberapa laluan. |
| Havabüs | Lebih mudah membawa bagasi ke Taksim atau Kadıköy. |
| Private Airport Transfer | Sesuai untuk keluarga atau kumpulan kecil. |
Pilihan Saya — Metro M4 dan Marmaray
Memandangkan hotel pilihan saya terletak di kawasan Laleli, Fatih, perjalanan menggunakan metro dan Marmaray boleh menjadi lebih praktikal berbanding menaiki bas lapangan terbang ke Taksim.
Cadangan Laluan Pengangkutan
↓ Metro M4
Ayrılık Çeşmesi
↓ Tukar ke Marmaray arah Halkalı
Yenikapı
↓ Berjalan kaki atau teksi pendek
Hotel Sera Laleli
Salah satu pengalaman menarik menggunakan Marmaray ialah kita akan merentasi Selat Bosphorus melalui terowong kereta api bawah laut, dari benua Asia ke benua Eropah.
Maklumat pengangkutan boleh disemak melalui laman rasmi:
Tip Pengembara Bajet:
Dapatkan Istanbulkart untuk memudahkan penggunaan metro, tram, bas dan feri awam. Saya memperuntukkan sekitar RM100 seorang untuk pengangkutan awam sepanjang berada di Istanbul, termasuk perjalanan pergi dan balik lapangan terbang. Jumlah ini merupakan sasaran bajet awal dan perlu disemak semula sebelum berlepas.
4. Penginapan Empat Malam di Istanbul
9 – 13 Jun 2027
Tidak seperti sesetengah percutian yang memerlukan hotel mewah, bagi pengembara yang ingin menghabiskan sebahagian besar masa meneroka kota Istanbul, hotel bajet yang bersih, selesa dan mempunyai akses pengangkutan awam sudah memadai.
HOTEL PILIHAN SIMULASI

Hotel Sera Laleli at Trip.com
Mimar Kemalettin, Hayriye Tüccarı Cd. No: 37, Fatih, Istanbul, Istanbul Province 34130, Türkiye
Satu bilik untuk empat malam
Solo RM610 RM152.50 semalam | Perkongsian Berdua RM305 RM76.25 seorang semalam |
Kawasan Laleli merupakan salah satu kawasan yang boleh dipertimbangkan oleh pengembara bajet kerana akses kepada pengangkutan awam, kedai, restoran dan kawasan bersejarah di Fatih.
Kawasan Alternatif untuk Menginap di Istanbul
Tidak semestinya semua pengembara perlu memilih hotel yang sama. Pemilihan kawasan penginapan bergantung kepada bajet, minat dan kemudahan pengangkutan.
Photo : Pelago by Singapore Airlines - Istanbul Highlights Small-Group Walking Guided Tour
Sultanahmet
Sesuai untuk mereka yang pertama kali mengunjungi Istanbul dan ingin berada berhampiran Hagia Sophia, Masjid Biru dan Istana Topkapi.
Photo : Pelago by Singapore Airlines - Bosphorus Sightseeing Boat Tour
Sirkeci & Eminönü
Lokasi strategik untuk akses tram, Marmaray, feri Bosphorus dan kawasan pasar bersejarah.
Photo : Expedia - Laleli
Laleli & Aksaray
Sesuai untuk pengembara yang mengutamakan hotel bajet, restoran dan kemudahan pengangkutan awam.
Photo : Pelago by Singapore Airlines - Istanbul Taksim, Istiklal, Galata Tower and Dolmabahçe Tour
Taksim & Beyoğlu
Sesuai untuk menikmati suasana Istanbul yang lebih moden, kafe, kawasan membeli-belah dan kehidupan bandar.
Photo : Klook - Istanbul Kadıköy Half-Day Big Group Tour with Ferry
Kadıköy
Alternatif di bahagian Asia untuk menikmati kehidupan masyarakat tempatan, pasar, makanan dan pengalaman menaiki feri merentasi Bosphorus.
5. Istanbul — Lebih Daripada Sekadar Destinasi Persinggahan
Istanbul bukan sebuah kota yang boleh difahami hanya dengan melihat gambar atau membaca buku sejarah.
Di sinilah Constantinople ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453, membuka lembaran baharu dalam sejarah dunia Islam.
Di sini juga kita dapat menyaksikan kehebatan seni bina Uthmaniyyah, mendengar azan dari masjid-masjid bersejarah, menikmati secawan teh Turki dan melihat kapal-kapal berulang-alik di antara dua benua.
Bagi pengembara Muslim yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci, Istanbul menawarkan pengalaman tambahan yang bukan sahaja bersifat pelancongan, tetapi juga sejarah, budaya dan penghayatan terhadap warisan tamadun Islam.
Destinasi Menarik untuk Diterokai Secara DIY
| Destinasi | Tarikan Utama |
|---|---|
| Hagia Sophia | Warisan Byzantine dan Uthmaniyyah. |
| Masjid Sultan Ahmed | Masjid Biru dan keindahan seni bina Islam. |
| Masjid Süleymaniye | Karya agung Mimar Sinan. |
| Istana Topkapi | Sejarah pemerintahan Uthmaniyyah. |
| Masjid Fatih | Warisan Sultan Muhammad Al-Fatih. |
| Masjid Eyüp Sultan | Sejarah dan penghayatan Islam. |
| Grand Bazaar | Pasar bersejarah Istanbul. |
| Spice Bazaar | Rempah, manisan dan produk tempatan. |
| Jambatan Galata | Pemandangan Golden Horn. |
| Eminönü | Feri, makanan dan kehidupan masyarakat tempatan. |
Sebahagian besar masjid boleh dikunjungi tanpa bayaran masuk, tertakluk kepada peraturan lawatan masing-masing. Bagaimanapun, kawasan lawatan pelancong di Hagia Sophia, Istana Topkapi dan beberapa tarikan lain memerlukan tiket berbayar.
6. Meneroka Istanbul Secara DIY — Google Maps Kata 31 Minit!
Ini bukan kali pertama saya meneroka Istanbul secara DIY.
Dalam salah satu perjalanan terdahulu, saya pernah merancang untuk berjalan kaki dari kawasan sekitar Hagia Sophia menuju ke Masjid Süleymaniye.
Menurut Google Maps, perjalanan tersebut hanya mengambil masa sekitar 31 minit.
Hakikatnya?
Hampir empat jam!
Pengalaman tersebut telah saya abadikan dalam sebuah artikel AaraStories:
BACA JUGA | AARASTORIES
Jejak Uthmaniyyah: Terpedaya 31 Minit Google Maps, Jadi Kembara 4 Jam Ke Süleymaniye
Sebuah pengalaman meneroka Istanbul secara DIY, apabila perjalanan singkat bertukar menjadi sebuah kembara yang penuh kenangan.
Itulah antara keistimewaan meneroka Istanbul secara DIY. Kita mempunyai kebebasan untuk menentukan rentak perjalanan sendiri, tanpa perlu tergesa-gesa mengejar jadual rombongan.
Kadangkala, pengalaman yang paling berharga bukanlah ketika sampai ke destinasi, tetapi apa yang kita temui sepanjang perjalanan.
Google Maps mengukur jarak dan masa, tetapi tidak mengukur rasa ingin tahu seorang pengembara.

7. Menikmati Pengalaman Berpandu dengan Bajet RM148
Walaupun saya lebih gemar meneroka sesebuah kota secara DIY, tidak bermakna semua aktiviti perlu dilakukan sendiri.
Ada kalanya menyertai lawatan berpandu lebih praktikal, terutama apabila beberapa destinasi digabungkan dalam satu pakej dengan harga yang berpatutan.
Guided Bosphorus Cruise, Pierre Loti Hill, Cable Car & Balat
Bosphorus Cruise
Menikmati pemandangan Istanbul dari perairan yang memisahkan Asia dan Eropah, dengan panorama istana, masjid, jambatan dan bangunan bersejarah.
Pierre Loti Hill
Salah satu lokasi menarik untuk menikmati panorama Golden Horn sambil berehat dan menikmati teh atau kopi Turki.
Cable Car
Pengalaman menaiki kereta kabel di kawasan Eyüp Sultan dengan pemandangan Istanbul dari sudut yang berbeza.
Balat
Sebuah kejiranan bersejarah yang terkenal dengan rumah berwarna-warni, lorong sempit, kafe unik dan warisan pelbagai budaya.
Harga berdasarkan semakan awal. Semak jadual, bahasa pemandu pelancong, tiket masuk dan perkhidmatan yang termasuk dalam pakej.
Dengan kos sekitar RM148, pakej ini boleh menjadi pelengkap kepada aktiviti DIY sepanjang berada di Istanbul.
8. Cadangan Itinerari Istanbul — 5 Hari, 4 Malam
Ini bukan jadual yang terlalu padat. Saya lebih suka menikmati perjalanan secara santai, terutama kerana selepas Istanbul, perjalanan utama saya adalah untuk menunaikan ibadah Umrah.
HARI 1 | 9 JUN 2027
Selamat Datang ke Istanbul
Tiba di SAW, menaiki pengangkutan awam ke hotel, berehat dan meneroka kawasan sekitar Laleli. Menikmati hidangan tempatan.
HARI 2 | 10 JUN 2027
Menelusuri Sejarah Uthmaniyyah
Hagia Sophia, Masjid Biru, Sultanahmet Square, Masjid Süleymaniye dan Grand Bazaar. Berjalan kaki mengikut kemampuan.
HARI 3 | 11 JUN 2027
Guided Tour Istanbul
Bosphorus Cruise, Pierre Loti Hill, Cable Car dan Balat. Jika jadual perjalanan mengizinkan, singgah ke Masjid Eyüp Sultan.
HARI 4 | 12 JUN 2027
Istanbul Mengikut Rentak Sendiri
Masjid Fatih, Eminönü, Spice Bazaar dan Jambatan Galata. Menikmati kopi Turki dan membeli sedikit buah tangan jika perlu.
HARI 5 | 13 JUN 2027
Selamat Tinggal Istanbul, Menuju Madinah
Daftar keluar hotel, menuju ke lapangan terbang dan meneruskan penerbangan ke Madinah. Bermulalah perjalanan ibadah di Tanah Suci.
Jadual ini mengandaikan penerbangan dari Kuala Lumpur tiba di Istanbul pada 9 Jun. Waktu sebenar penerbangan perlu disesuaikan dengan tarikh tempahan hotel.
9. Berapakah Sebenarnya Kos Tambahan untuk Meneroka Istanbul?
Mari kita lihat keseluruhan pengiraan berbanding penerbangan sehala Kuala Lumpur ke Madinah yang berharga RM1,900.
| Perkara | Solo | Berdua Seorang |
|---|---|---|
| KUL – Istanbul | RM1,092 | RM1,092 |
| Istanbul – Madinah | RM860 | RM860 |
| Hotel 4 Malam | RM610 | RM305 |
| Guided Tour | RM148 | RM148 |
| Pengangkutan (Anggaran) | RM100 | RM100 |
| Jumlah | RM2,810 | RM2,505 |
| Tolak Tambang KUL – Madinah | (RM1,900) | (RM1,900) |
| Kos Tambahan | RM910 | RM605 |
Dengan tambahan sekitar RM605 seorang bagi perkongsian bilik berdua, kita berpotensi menikmati empat malam di Istanbul, meneroka kota bersejarah, menyertai Bosphorus Cruise, menaiki kereta kabel dan menikmati pengalaman berada di dua benua.
Bagi pengembara solo pula, kos tambahan masih berada di bawah RM1,000 berdasarkan simulasi ini.
Sekiranya dibandingkan dengan tambang KUL–Jeddah pada RM1,600, kos tambahan ialah RM905 seorang bagi perkongsian bilik berdua atau RM1,210 bagi pengembara solo, sebelum mengambil kira kos perjalanan dari Jeddah ke Madinah.
Nota Bajet:
Simulasi ini tidak termasuk makanan, tiket masuk tarikan tambahan, insurans perjalanan dan perbelanjaan peribadi. Semua harga penerbangan, penginapan dan aktiviti tertakluk kepada perubahan.
10. Beberapa Perkara Penting Sebelum Menempah
Memandangkan perjalanan ini melibatkan dua tiket penerbangan sehala yang berasingan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:
- Pastikan lapangan terbang berlepas ke Madinah sama ada SAW atau IST.
- Semak had bagasi bagi kedua-dua penerbangan.
- Semak syarat kemasukan ke Türkiye bagi warganegara Malaysia.
- Pastikan visa Saudi sah untuk tujuan Umrah selepas musim Haji 2027.
- Semak perlindungan insurans perjalanan yang meliputi Türkiye dan Arab Saudi.
- Pilih hotel dengan polisi pembatalan percuma sekiranya terdapat perubahan jadual penerbangan atau peraturan kemasukan.
- Semak keadaan laluan berjalan kaki dan kemudahan pengangkutan jika membawa warga emas atau bagasi yang berat.
Semua harga dalam artikel ini merupakan simulasi berdasarkan semakan awal dan tertakluk kepada perubahan.
11. Tidak Semua Perjalanan Perlu Mengikut Laluan Biasa
Ada yang memilih untuk terbang terus ke Tanah Suci. Ada yang memilih penerbangan dengan transit beberapa jam.
Namun, bagi mereka yang mempunyai sedikit kelapangan masa, minat terhadap sejarah dan keinginan untuk meneroka dunia, singgah beberapa hari di Istanbul boleh menjadi satu pilihan yang menarik.
Pada usia yang semakin meningkat, saya semakin menghargai perjalanan yang tidak terlalu terburu-buru. Tidak semestinya semua tempat perlu dilawati, tidak semestinya semua aktiviti perlu dilakukan.
Kadangkala, berjalan kaki di sebuah kota bersejarah, singgah untuk menunaikan solat, menikmati secawan kopi dan melihat kehidupan masyarakat tempatan sudah cukup untuk mencipta sebuah kenangan.
Istanbul hanyalah persinggahan. Destinasi utama perjalanan ini tetap Madinah dan Makkah.
Insya-Allah, pada 13 Jun 2027, setelah empat malam meneroka warisan Uthmaniyyah, perjalanan akan diteruskan menuju ke kota Rasulullah SAW.
Daripada kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan Islam yang agung, menuju ke kota yang menjadi pusat perkembangan awal tamadun Islam.
Bersambung...
Bahagian 2 — Menikmati Ketenangan Madinah
Penginapan, ziarah, pengangkutan dan persediaan sebelum menuju ke Makkah untuk menunaikan ibadah Umrah.
Akan Datang
Siri DIY UmrahPlus Istanbul 2027
- Bahagian 1 — Istanbul: Empat Malam dengan Tambahan Bajet Kurang RM1,000 (Artikel ini)
- Bahagian 2 — Madinah: Penginapan, Ziarah dan Persediaan Umrah
- Bahagian 3 — Makkah: Ibadah Umrah, Hotel dan Pengangkutan
- Bahagian 4 — Simulasi Bajet Lengkap dan Penerbangan Pulang
Penafian affiliate: Artikel ini mungkin mengandungi pautan affiliate. Sekiranya anda membuat tempahan melalui pautan tersebut, AaraStories mungkin menerima komisen tanpa sebarang kos tambahan kepada anda.
AaraStories
Travel · Experience · Inspiration
Leave a comment
Your email address will not be published. Required fields are marked *




